Pengurusan Risiko Hazard Biologi

Hazard biologi berpunca daripada organisma termasuk mikroorganisma (Cth: Hepatitis B dan C, HIV), haiwan (Cth: ular, tikus, nyamuk) dan tumbuhan (Cth: pokok rengas) yang boleh menyebabkan kemudaratan kesihatan manusia.

Pekerja yang mengendalikan hazard biologi seperti spesimen darah atau bendalir tubuh berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan merbahaya seperti Hepatitis B, C atau HIV). Pekerja yang mengendalikan haiwan dan sisa haiwan turut terdedah kepada risiko hazard biologi.

a) Cara Pendedahan Hazard Biologi Mikroorganisma:

  • Terserap: Agen hazard biologi masuk melalui kulit ke dalam tubuh. (Cth: melalui luka di kulit atau melalui selaput mukus).
  • Tertusuk: Agen hazard biologi masuk melalui media tajam ke dalam tubuh. (Cth: tercucuk jarum yang tercemar dengan darah mengandungi Hepatitis B, C atau HIV).
  • Termakan: Agen hazard biologi masuk ke dalam tubuh melalui mulut. (Cth: kemasukan melalui merokok, makan atau minum tanpa membersihkan tangan).
  • Terhidu dan tersedut Aerosol: Agen hazard biologi yang terampai di udara memasuki tubuh melalui sistem pernafasan.

(Cth: virus selsema dan batuk kering (tuberkulosis)).

b) Kesan Risiko Hazard Biologi Kepada Keselamatan Dan Kesihatan

Bergantung kepada jenis biohazard, mangsa boleh mengalami jangkitan penyakit, kecederaan dan maut.

c) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Biologi

  • Mendapatkan maklumat mengenai bahaya hazard biologi yang ditangani atau yang bakal dihadapi.
  • Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan hazard biologi.
  • Sentiasa mengamalkan standard precaution dalam tugasan harian.

*Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia