Pengurusan Risiko Suhu Tinggi

Tempat kerja yang terlalu panas samada bekerja di lapangan atau di dalam bangunan berhaba bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan tetapi boleh meningkatkan risiko kemalangan akibat kekejangan otot, heat exhaustion dan maut.

a) Kesan Risiko Suhu Tinggi Kepada Keselamatan dan Kesihatan 

  • Ruam panas atau prickly heat: Berlaku disebabkan kelenjar peluh tersumbat dan akibatnya peluh terkumpul.
  • Heat Cramps (Kejang otot akibat haba): Kebiasaannya terjadi pada tangan, kaki dan bahagian perut. Biasa terjadi selepas kuat berpeluh dan tidak meminum air dengan  mencukupi.
  • Heat Syncope: Tidak sedar secara tiba-tiba. Berlaku akibat dari tekanan darah yang terlalu rendah. Selalunya terjadi selepas menjalankan kerja berat secara berterusan. Kulit menjadi dingin dan melekit manakala denyutan nadi pula lemah.
  • Heat Exhaustion: Tanda-tanda termasuklah kepenatan, pening, kulit yang lekit (clammy skin), kuat berpeluh, hilang selera makan, loya dan sakit pada bahagian perut. Tanda-tanda ini timbul apabila badan kehilangan terlalu banyak air ketika menjalankan aktiviti fizikal yang kuat di kawasan bersuhu tinggi.
  • Heat Stroke: Badan kehilangan keupayaan untuk menyejukkan diri sendiri. Akibatnya suhu badan meningkat, nadi menjadi cepat, hilang orientasi, kebingungan, tekanan darah menurun, tidak sedar dan koma. Masalah ini memerlukan rawatan perubatan yang segera kerana boleh menyebabkan kematian.

b) Kaedah Pencegahan Risiko Suhu Tinggi 

  • Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan pekerjaan di dalam persekitaran suhu tinggi.
  • Melakukan kerja pada waktu yang kurang panas seperti awal pagi, senja, waktu malam atau pada hari-hari sejuk.
  • Membiasakan diri dengan kepanasan secara beransuransur (acclimatization) – waktu pekerja terdedah kepada persekitaran kerja yang panas ditingkatkan secara beransur-ansur. Ini memberi peluang kepada tubuh untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran panas secara berperingkat.
  • Meminum air dengan lebih kerap bagi menggantikan air yang banyak hilang melalui peluh.
  • Menggunakan alat pendingin udara untuk mengurangkan hazard haba dalam bangunan dan kenderaan.
  • Mesin-mesin yang menghasilkan haba perlu mempunyai sistem pengudaraan untuk mengurangkan haba berlebihan.
  • Mengurangkan masa pendedahan melalui penggiliran pekerja.
  • Berehat seketika antara waktu kerja di tempat sejuk seperti di bilik berhawa dingin atau sekurang-kurangnya di tempat teduh antara waktu kerja.
  • Mengelakkan daripada meminum minuman berkafein dan/ atau beralkohol kerana ia boleh menyebabkan kehilangan lebih banyak air.
  • Mengelakkan penggunaan pakaian berwarna gelap kerana sifatnya yang menyimpan haba.

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia