Info

Kuasa elektrik boleh mencederakan dan membunuh. Ini boleh terjadi akibat daripada:

  • Sentuhan dengan bahan atau pendawaian elektrik yang hidup mengakibatkan renjatan elektrik, terbakar dan kebakaran.
  • Pendawaian dan peralatan elektrik yang rosak dan boleh mengakibatkan renjatan elektrik, terbakar dan kebakaran.
  • Bahan atau dawai elektrik menjadi sumber nyalaan di persekitaran mudah terbakar atau mudah meletup. Akibatnya berlakunya kebakaran atau letupan.

Risiko kemalangan akibat daripada hazard elektrik bergantung kepada bagaimana dan di mana bahan atau wayar elektrik itu digunakan. (Cth: Kawasan yang basah dan kawasan yang sesak adalah lebih berisiko untuk terjadinya kemalangan).

Akta Berkaitan: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994; Akta Kilang dan Jentera 1967 (Dikuatkuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Dikuatkuasakan oleh Jabatan Bekalan Elektrik).

Kaedah Pencegahan Hazard Elektrik

  • Menggunakan peralatan elektrik yang bersesuaian dan selamat.
  • Menggunakan peralatan keselamatan tambahan bagi meningkatkan keselamatan sistem elektrikal.
  • Menjalankan penyelenggaraan berkala ke atas sistem elektrikal.
  • Mendapat latihan dan mematuhi protokol kerja selamat dalam penggunaan, pengendalian atau penyelenggaraan peralatan elektrik dan punca elektrik lain.
  • Melakukan pendawaian hanya selepas mendapat sijil kompetensi yang berkaitan.

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementeriaan Kesihatan Malaysia

 

Tempat kerja yang terlalu panas samada bekerja di lapangan atau di dalam bangunan berhaba bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan tetapi boleh meningkatkan risiko kemalangan akibat kekejangan otot, heat exhaustion dan maut.

a) Kesan Risiko Suhu Tinggi Kepada Keselamatan dan Kesihatan 

  • Ruam panas atau prickly heat: Berlaku disebabkan kelenjar peluh tersumbat dan akibatnya peluh terkumpul.
  • Heat Cramps (Kejang otot akibat haba): Kebiasaannya terjadi pada tangan, kaki dan bahagian perut. Biasa terjadi selepas kuat berpeluh dan tidak meminum air dengan  mencukupi.
  • Heat Syncope: Tidak sedar secara tiba-tiba. Berlaku akibat dari tekanan darah yang terlalu rendah. Selalunya terjadi selepas menjalankan kerja berat secara berterusan. Kulit menjadi dingin dan melekit manakala denyutan nadi pula lemah.
  • Heat Exhaustion: Tanda-tanda termasuklah kepenatan, pening, kulit yang lekit (clammy skin), kuat berpeluh, hilang selera makan, loya dan sakit pada bahagian perut. Tanda-tanda ini timbul apabila badan kehilangan terlalu banyak air ketika menjalankan aktiviti fizikal yang kuat di kawasan bersuhu tinggi.
  • Heat Stroke: Badan kehilangan keupayaan untuk menyejukkan diri sendiri. Akibatnya suhu badan meningkat, nadi menjadi cepat, hilang orientasi, kebingungan, tekanan darah menurun, tidak sedar dan koma. Masalah ini memerlukan rawatan perubatan yang segera kerana boleh menyebabkan kematian.

b) Kaedah Pencegahan Risiko Suhu Tinggi 

  • Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan pekerjaan di dalam persekitaran suhu tinggi.
  • Melakukan kerja pada waktu yang kurang panas seperti awal pagi, senja, waktu malam atau pada hari-hari sejuk.
  • Membiasakan diri dengan kepanasan secara beransuransur (acclimatization) – waktu pekerja terdedah kepada persekitaran kerja yang panas ditingkatkan secara beransur-ansur. Ini memberi peluang kepada tubuh untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran panas secara berperingkat.
  • Meminum air dengan lebih kerap bagi menggantikan air yang banyak hilang melalui peluh.
  • Menggunakan alat pendingin udara untuk mengurangkan hazard haba dalam bangunan dan kenderaan.
  • Mesin-mesin yang menghasilkan haba perlu mempunyai sistem pengudaraan untuk mengurangkan haba berlebihan.
  • Mengurangkan masa pendedahan melalui penggiliran pekerja.
  • Berehat seketika antara waktu kerja di tempat sejuk seperti di bilik berhawa dingin atau sekurang-kurangnya di tempat teduh antara waktu kerja.
  • Mengelakkan daripada meminum minuman berkafein dan/ atau beralkohol kerana ia boleh menyebabkan kehilangan lebih banyak air.
  • Mengelakkan penggunaan pakaian berwarna gelap kerana sifatnya yang menyimpan haba.

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Hazard mekanikal melibatkan dedahan anggota badan kepada bahagian mesin dan jentera yang bergerak. (Cth: hazard ini termasuk hempapan, himpitan, terpotong, tikaman, tusukan dan lain-lain).

Perundangan yang boleh diguna pakai untuk mencegah risiko hazard mekanikal adalah Akta Kilang Dan Jentera 1967 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya.

a) Kesan Risiko Hazard Mekanikal Kepada Keselamatan dan Kesihatan

Kemalangan yang berkaitan dengan hazard mekanikal ini mengakibatkan cedera ringan (seperti calar dan terseliuh) atau kesan yang lebih dahsyat (seperti hilang anggota dan maut).

b) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Mekanikal

  • Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan pemasangan, penggunaan, pengendalian dan penyelenggaraan mesin dan jentera.
  • Memastikan setiap mesin dan jentera diselenggara di dalam keadaan yang selamat, bebas daripada risiko hazard mekanikal dan mematuhi kehendak perundangan berkaitan.
  • Memastikan setiap operator mesin dan jentera yang ditetapkan oleh perundangan mempunyai sijil kompetensi.

(cth: boiler man dan crane operator).

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Sinaran terbahagi kepada dua: Sinaran mengion dan sinaran tidak mengion (Rajah 2d). Kedua-dua jenis sinaran ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Rajah 2d : Jenis Sinaran

Akta berkaitan: Penggunaan sinaran mengion dikawal oleh Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya. Semua jenis pekerjaan yang melibatkan penggunaan sinaran mengion dan lain-lain yang telah ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom hendaklah terlebih dahulu dilesenkan.

a) Kesan Risiko Sinaran Mengion Kepada Keselamatan dan Kesihatan

  • Pendedahan Akut – Pendedahan kepada dos tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Boleh menyebabkan kelecuran sinaran dan maut.
  • Pendedahan Kronik – Pendedahan kepada dos rendah dalam tempoh masa yang panjang. Ianya terbahagi kepada dua:
  • Kesan Somatik: Kesan kepada individu terdedah. (Cth: barah, kecacatan anak yang dikandung).
  • Kesan Genetik: Kesan kepada keturunan atau baka.

b) Kaedah Pencegahan Risiko Sinaran Mengion

  • Setiap pekerjaan yang menggunakan sinaran mengion (yang dihasilkan oleh mesin sinaran atau daripada radionuklid) hanya boleh dilakukan oleh individu yang telah dilatih mengenai protokol kerja selamat berkaitan dengan sinaran mengion.
  • Prinsip perlindungan sinaran mengion berikut hendaklah digunakan di dalam semua protokol kerja selamat dan semasa bekerja:

i. Perisai: Menggunakan perisai yang betul untuk melindungi diri daripada sinaran misalnya:

  • Zarah alfa (a ) tidak memerlukan perisai untuk mengurangkan dos sinarannya sebaliknyamemerlukan kelengkapan perlindungn peribadi untuk mencegah ia masuk ke dalam tubuh.
  • Zarah beta (b ) boleh dihalang dengan menggunakan perspek atau aluminium setebal 6mm
  • Sinar gama (g) dan X boleh dihalang dengan menggunakan perisai yang dibuat daripada plumbum dengan ketebalan yang sesuai

ii. Masa: Memendekkan masa dedahan kepada radiasi bagi mengurangkan dos yang diterima

iii. Jarak: Menjauhkan diri dari punca sinaran untuk mengurangkan dos yang diterima.

  • Setiap pekerjaan yang melibatkan punca sinaran mengion hendaklah dilakukan di dalam kawasan yang telah ditetapkan mengikut protokol pengkelasan kawasan kerja. Kawasan kerja ini hendaklah dilabel dengan tanda hazard sinaran Trifoil (Rajah 2e).
    Rajah 2e – Label tanda hazard sinaran mengion (Trifoil)
  • Pekerja wanita yang hamil perlu dipindahkan ke bahagian lain yang tidak terdedah kepada sinaran mengion atau radionuklid.

*Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia